Jumaat, 14 Mei 2010


REJIMEN 505 (AW)
Pada tahun 1942, iaitu semasa zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, KDYMM Sultan Pahang tidak melarang orang Melayu Pahang menubuhkan sebuah pasukan sukarela secara sulit untuk menentang pihak tentera Jepun yang menduduki di negeri itu. Tentera Wataniah ini dianggotai oleh kira-kira 250 orang di bawah kepimpinan seorang pemuda Melayu bernama Yeop Mahidin dan dua orang lagi anak watan Pahang, iaitu Encik (Tun) Abdul Razak bin Datuk Hussain (berpangkat Kapten mengetuai satu pasukan) dan Encik Ghazali Shafie (berpangkat Leftenan).
Pada 24 Julai 1945, Yeop Mahidin (Nama Rahsia: Singa) beserta Haji Abu Jamal dan tiga orang Melayu telah bermesyuarat selama empat jam dengan Lt Kol Richardson di Batu Talam, Raub, Pahang. Antara perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat tersebut ialah penubuhan gerakan sulit dengan gelaran Wataniah. Selain itu, Yeop Mahidin dicadangkan untuk dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Pasukan dengan berpangkat Leftenan Kolonel dan pegawai lain yang ditauliah oleh Sultan Pahang akan dilantik sebagai Kolonel Kehormat.
Dalam pertemuan itu, dipersetujui juga bahawa seorang Pegawai Pemerintah akan dibantu oleh seorang Ajutan berpangkat Mejar. Empat kompeni akan ditubuhkan di setiap daerah, iaitu di Kuala Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh. Setiap kompeni dibahagikan kepada beberapa seksyen, iaitu organisasi di paras mukim yang dianggotai oleh 15 hingga 20 orang. Di samping itu, terdapat satu seksyen untuk kem markas yang mengandungi kira-kira 20 orang yang bertugas di Kem Richardson. Pasukan ini mempunyai kekuatan kira-kira 500 orang.
Setakat 14 Ogos 1945, Wataniah mempunyai 244 anggota yang berdaftar. Seramai 173 anggotanya telah dibekalkan dengan senjata. Organisasi Wataniah dipecahkan kepada lima platun iaitu Batu Talam, Dong, Sega, Kula Lipis dan Raub. Di samping itu, terdapat kumpulan ini dipimpin oleh Mej Yeop Mohidden dan dibantu oleh Kapt Abdul Rahman Ismail dan Kapt Abdul Razak bin Husain. Platun Batu Talam dipimpin oleh Kapt Sulaiman bin Ismail (seorang guru), Platun Raub oleh Lt M Tengku Yunan bin Haji Daud, Platun Sega oleh Lt Yaacub bin Hassan, Platun Kuala Lipis oleh Lt Ghazali bin Shafie dan Platun Dong oleh Lt M Along Nasir.
ASAL-USUL PENUBUHAN
Berikutan kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945, keadaan pentadbiran dan politik negeri menjadi tidak stabil. Parti Komunis Malaya (PKM) cuba menguasai Semenanjung Malaysia sebelum pihak British bertapak di Semenanjung. Banyak keganasan telah berlaku dan ini mendorong pihak penjajah di Persekutuan Tanah Melayu mengisytiharkan undang-undang darurat di seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1948. Berikutan daripada ancaman dan keganasan PKM terus berleluasa, Sultan Pahang menitahkan Yeop Mahidin menubuhkan Pasukan Kawalan Kampung bagi membantu pasukan keselamatan dari kerajaan pusat.
Di peringkat awal darurat, ramai anggota Wataniah yang melibatkan diri dalam Pasukan Kawalan Kampung (Home Guard) untuk menangani keganasan PKM di Pahang. Markas Besar Pasukan Kawalan Kampung terletak di Kuala Lipis dan Pegawai Memerintahnya ialah Lt Kol Valentine yang dihantar khas dari Rejimen Askar Melayu. Penolong Pegawai Memerintahnya ialah Mej Nazri bin Awang berasal dari Kampung Tengah, Kuantan.
Setelah berakhirnya darurat, Pasukan Kawalan Kampung telah dibubarkan. Kemudiannya, pihak kerajaan telah menubuhkan satu Pasukan Tentera Sukarela untuk menggantikan pasukan tersebut. Pasukan baru diberi nama Tentera Tempatan Persekutuan (TTP). Pengarah pertama pasukan ini ialah Kol Yeop Mahidin. Tiga Batalion ditubuhkan dalam Negeri Pahang. Setiap Batalion diterajui oleh seorang pegawai berpangkat Kapten. Batalion Pertama di Kuantan diketuai oleh Kapt Decrus, Batalion Kedua di Kuala Lipis oleh Kapt Wong Yee Van dan Batalion Ketiga di Temerloh oleh Kapt Ahmad bin Osman. Latihan bagi ketiga-tiga Batalion diselaraskan oleh seorang pegawai berpangkat Mejar sebagai Training Mejar iaitu Mej Mustaffa bin Kassim.
Pada tahun 1963, ramai anggota sukarela dari Batalion Satu, Dua dan Tiga TTP Pahang dikerahkan bagi menghadapi konfrontasi. Pasukan ini telah berkembang dari semasa ke semasa sehingga tertubuhnya satu pasukan Infantri Askar Wataniah (12 MTA) yang terdiri daripada Markas Kompeni A, B, C dan D. Markas Kompeni terletak di Temerloh, Kompeni A di Kuantan, Kompeni B di Pekan, Kompeni C di Kuala Lipis dan Kompeni D di Raub. Anggota sukarela yang tidak dikerah disenaraikan dalam pasukan baru yang diberi nama Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT) atau lebih dikenali dengan nama Pahang LDC. KDYMM Sultan Ahmad Shah Ibni Almarhun Sultan Sir Abu Bakar pernah bergiat cergas dalam PPT Pahang sebagai pegawai sukarela berpangkat Mejar. Semasa konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963, baginda telah berkhidmat sepenuh masa dan dilantik sebagai Pegawai Pemerintah di 12 Bn Inf AW di Kem Batu 5, Mentakab sehingga tahun 1965. Pada 23 Julai 1970, baginda telah dianugerahkan Tauliah DiRaja Kehormat dalam PPT (Askar Wataniah) dengan menyandang pangkat Leftenan Kolonel sebenar.
Pada tahun 1968, Markas Besar PPT Pahang terletak di Jalan Gambut, Kuantan, dan ditadbirkan oleh seorang pegawai tetap, iaitu Mej Khoo Ah Leong. Beliau dibantu oleh beberapa orang jurulatih tetap (LDC). Jurulatih ini digandingkan dengan beberapa orang jurulatih tetap dari Askar Melayu DiRaja dan Peninjau DiRaja. Jurulatih ini dihantar ke daerah Pekan, Temerloh, Jerantut, Raub, Kuala Lipis dan Bentong. Organisasi di setiap daerah disusun semula dengan tidak memberi nama Batalion, tetapi hanya diberi nama Pegawai Pentadbir Daerah yang diketuai oleh seorang anggota tetap berpangkat Staf Sarjan untuk mengendalikan platun di bawah jagaannya.
Pada tahun 1969, PPT Pahang telah ditukar nama kepada 408 Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD). Antara Pegawai Pemerintah yang pernah berkhidmat dengan 408 PSTD ialah Mej Khoo Ah Leong, Mej Abu Bakar bin Ahmad, Mej Omar bin Mohamad, Mej Nik Mahir, Mej Mustaffa bin Kassim, Mej Ajit Singh dan Mej Zamrah.
Pada 1 Mac 1979, 12 MTA telah diserapkan menjadi 24 RAMD yang berpangkalan di Kem Dar Lockwood, Batu 10, Jalan Gambang, Kuantan. Markas Pasukan 408 PSTD terletak di Jalan Gambut, Kuantan, dan selepas konfrontasi dengan Indonesia, Markas ini telah dipindahkan ke Kem Perwira bagi mengambil alih kem yang ditinggalkan oleh Rejimen Peninjau DiRaja. Tidak berapa lama selepas itu Markas ini berpindah semula ke Jalan Gambut di tempat asalnya kerana Kem Perwira diserahkan kepada anggota Sasaran Penting (Kerahan). Pada bulan Februari 1973, Markas ini berpindah pula ke Kem Telok Sisek, di Jalan Dato’ Abdullah, Kuantan untuk mengambil alih Kem yang ditinggalkan oleh 4 Bgd. Kem Telok Sisek di Jalan Dato’ Abdullah, Kuantan pernah dijadikan Markas 4 Bgd mulai bulan Januari 1971 hingga bulan Februari 1973, iaitu semasa banjir besar melanda negeri Pahang pada penghujung tahun 1970 dan awal 1971. Perasmian penempatan Markas 4 Bgd di Kem Telok Sisek itu disempurnakan oleh Almarhun Sultan Sir Abu Bakar pada 30 Mei 1971. Pada 7 Februari 1980, 408 PSTD ditukar nama baru kepada Rejimen 505 (AW).
PERKEMBANGAN PASUKAN
Selain daripada pelbagai lapisan anak tempatan negeri Pahang Darul Makmur, penuntut dan pekerja dari institusi latihan dan organisasi swasta juga turut menyertai keanggotaan Rej 505 (AW) seperti berikut:
    • Institut Kemahiran MARA, Pramu Pekan.
    • Institut Latihan Perindustrian, Gebeng, Kuantan.
    • Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Semanbu, Kuantan.
    • Maktab Perguruan Teruntum, Kuantan.
    • Politeknik Sultan Ahmad Shah, Semambu, Kuantan.
    • MARA Community College, Kuantan.
    • Automotive Manufacturing (Malaysia), Pramu, Pekan.
PENEMPATAN PASUKAN
MK Rejimen dan Bn 1/505 (AW) – Kem Teluk Sisek, Kuantan (Daerah Kuantan)
Bn 2/505 (AW) – Kem Susur Tembeling, Jerantut (Daerah Maran, Jerantut dan Jengka)
Bn 3/505 (AW) – Kem Puncak Mas, Raub (Daerah Raub, Lipis, Bentong dan Cameron Highland)
Bn 4/505 (AW) – Kem Sri Pekan, Pekan (Daerah Pekan, Rompin, Keratong, Pulau Tioman dan Chini.
HAL-HAL SIGNIFIKAN
Penubuhan Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah. JAKPAW Negeri Pahang Darul Makmur telah ditubuhkan pada 16 September 1995. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur dan ahli-ahli Jawatankuasa terdiri daripada Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan badan-badan berkanun dan swasta.
Pengistiharan Rej 505 AW Sebagai ‘Anak Angkat’ Kerajaan Negeri Pahang. Pada 16 Mac 1996 oleh YAB Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khalil bin Yaakob, Menteri Besar Pahang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan.
Pengambilan Orang Asli. Di seluruh negeri Pahang telah dilaksanakan pengambilan orang asli sepanjang tahun 1996, mereka dilatih sebagai anggota baru Wataniah di beberapa buah Rancangan Penempatan Semula dan berjaya menamatkan latihan tersebut. Perbarisan tamat latihan telah disempurnakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan pada 3 September 1996 YB. Dato’ Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar, Menteri Pertahanan Malaysia.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan